Jumaat, 30 September 2011

~Ceritera Qalb~


Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Sudah sekian lama aku menjaga hati ini. Tika dahulu aku pernah 'bersama' dalam cinta nafsu. Akal yang masih kabur ketika mulanya zaman remaja membuatkan aku sentiasa bermain dengan cinta biasa (cinta monyet). Bukan sebenar-benarnya cinta tetapi hanya untuk suka-suka. Berpasangan, berpacaran, dan berkapel-an. Tanpa kenal dan memahami tentang dosa, pandangan mata atas dasar nafsu, aku tergelincir ke dalam lembah dosa dan kegelapan. Tika bersama, dialah menjadi pujaan hati, menggembirakan hati ini. Suaranya sering sahaja menjadi muzik di hatiku untuk dirindui. Tika bersama, rapatlah jasad, cerialah hati tanpa rasa dosa yang terbiasa.

Namun kerana hidayah Ilahi, aku mula terarah untuk berubah. Melakalah tempat bersejarah juga tempat bermulanya aku berhijrah ke jalan-Nya. Al-Quran yang dibaca setiap hari membuatkan aku lebih mengerti tentang diri untuk kuatkan hati berhijrah ke jalan-Nya. Atas pertolongan-Nya aku semakin dekat dan mula mengenal-Nya, mula menghargai-Nya dan tahu betapa Dia sentiasa bersama.

Sudah menjadi fitrah manusia untuk mencintai dan dicintai. Aku juga tidak terkecuali untuk bersama kerana aku juga insan biasa. Apetah lagi apabila seseorang yang sedang melalui zaman remajanya, zaman belia yang sangat kuat pengaruh untuk bercinta. Bukan aku terlalu memikirkan cinta tetapi hati ini tidak lepas daripada terputiknya rasa cinta. Bukan aku terlalu miang untuk bersuami kerana hati ini mudah terusik dan terdetik dengan perasaan cinta, ingin kasih, ingin sayang dan disayangi.

Aku tidak risau jika aku belum ada pasangan kerana aku terlalu takut jika perasaan ini yang membawa aku jauh daripada pemilik cinta utama dambaanku, Allah. Aku tidak mahu hati ini sarat dengan cinta manusia yang tidak bersandarkan Dia. Aku terlalu takut jika cinta ini adalah cinta murka yang membawa aku jauh daripada keredhaan-Nya. Aku juga risau jika cinta-Nya padaku akan hilang, yang akan menghilangkan rasa rindu untuk bersama dengan-Nya di kala hening malam saat semua roh bergelimpangan kebebasan, jasad lena dalam mimpi.

Kerana Allah kami bertemu, kerana Allah putiknya cinta. Bila dia di depan, mata tertunduk, bergentarlah hati. Suatu perasaan yang luar biasa, suatu perasaan yang tidakku biasa dengan bicara hati yang bercinta. Tidakku pinta, tidakku mohon atas getarnya hati ini apabila ia terasa. 
Ya Allah, aku tidak ingin menempa murka atas perasaan cinta ini kerana Engkaulah pemilik cinta agung yang aku dambakan. Hanya cinta-Mu ya Allah yang aku impikan untuk memenuhi ruang hati ini yang sekian lama sunyi. Ya Allah, ambillah getaran cinta ini. Ingin aku kembalikannya pada-Mu ya Allah. Tidak aku mahu hanya kerana cinta, aku binasa. Tidak aku mahu hanya kerana cinta, aku dimurka. Biar aku tiada 'dia' asal aku ada-Mu kerana kau yang memberi ku bahagia bukannya 'dia' melainkan dengan izin-Mu ya Allah.

Aku hanya mampu beristighfar tika getaran cinta hadir, bertandang di dalam hati. Sungguh aku tidak pintanya. Tidak mahu aku meluahkannya kerana itu akan merosakkan mujahadahnya. Biar aku diam dalam bicara hati. Hanya Allah yang mengetahuinya betapa hati ini impikan lelaki sepertinya. Aku risau, jika aku terlalu ikutkan rasa cinta, badan kan biasa. Biar aku terseksa asal mujahadahnya aku jaga. Tidak mahu aku rosakkan imannya. Tidak mahu aku rosakkan rasa cinta pada Tuhannya. 

Betapa dia bersungguh dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Betapa seriusnya dia dalam menyelesaikan tugasan. Melihatnya membuatkan aku bersemangat untuk menjaga diri hanya untuk pemilik tulang rusukku nanti yang mungkin bukan dia. Kerana pasti, dia juga akan menjaga dirinya untuk tulang rusuknya kerana aku juga tidak layak memiliki pejuang sepertinya yang begitu kuat dalam jihadnya.

Ingin sekali aku dampingi pemilik tulang rusukku dalam hubungan yang halal kerana aku ingin pendorongnya. Siapa sahaja yang mampu menahan amarah nafsu apabila bersama. Namun tidak rela dan takutnya hati ini jika tangan yang lembut ini dilepaskan 'bebas' disentuh oleh lelaki ajnabi. Dialah pembimbingku nanti yang akan membawaku ke jalan-Nya, menambahkan kekuatan dan rasa cinta kepada-Nya dan Rasul-Nya. 

Akanku kuat diri, tabahkan hati menjadi muslimah sejati hanya untuk dia, pemilik tulang rusukku. Aku ingin dia tahu bahawa diri ini akan selalu menjaga maruah diri dan hati agar aku hanya memberi kepadanya. Tidak akanku biarkan ia 'bebas' tanpa hala dan kehalalannya.

Wahai pemilik tulang rusukku,
Akanku jaga diri dan hati ini untukmu
Akanku kuatkan hati agar sabar menunggumu
Dalam istikharah cinta
Bersatu dalam ijab kabulmu

Wahai pemilik tulang rusukku
Akanku diamkan hati ini
Kerana dia yangku cintai
Yang mungkin bukan kau yang masih belum ku temui
Agar aku tidak merosakkan mujahadahmu
Agar aku tidak mengotori kemuliaanmu dan kesucian hatimu

Wahai pemilik tulang rusukku
Bimbinglah diri ini
Ke jalan Ilahi
Mendambakan cinta-Nya dan Rasul-Nya
Hanya kerana-Nya

Wahai pemilik tulang rusukku
Akanku usaha menjadi pendorongmu
Pencetus kekuatan pada semangat jihadmu
Penyenang perasaan tika kau resah dengan kegelisahan
Juga penggembira tika kau sedih

Wahai pemilik tulang rusukku
Jangan kau biarkan diri ini
Jauh daripada-Nya
Jauh daripada keredhaan-Nya
Tetapi tarbiyyahlah diri ini
Agar sentiasa diperingati
Tentang cinta Ilahi

1 ulasan: