Jumaat, 18 Mei 2012

Ukhwah & Tarbiyah



Maafkan saya kak, saya dah tak mampu nak join  kawan-kawan lain, ikut program lagi. Saya nak…’ Alya mengeluh panjang dan berat, sambil menahan gejolak hatinya yang kencang. Berat sekali untuk meneruskan kata-kata yang hendak ia ucapkan buat murabbinya. Tapi di waktu lain, dia benar-benar merasakan dia tak mampu untuk bersama-sama dengan jemaah dakwah yang ia sertai selama ini.

Fikiran Alya menerawang jauh mengenangkan detik-detik awal dia memasuki dunia dakwah. Alya akui bahawa tarbiyahnya yang selama ini dia ikuti memberi impak yang sangat besar kepada pembentukan peribadinya. Dia mampu mengenakan busana muslimah secara sempurna kerana tarbiyahnya dan dia juga temukan keindahan ukhuwah dengan tarbiyah, bahkan dia mampu ‘bekerja’ sekarang kerana tarbiyah.

Tapi saat ini, keindahan ukhuwah yang dulu pernah dia rasakan terasa begitu hambar. Kemesraan dan kecintaan yang dibina bersama teman-teman sehalaqah sudah mula memudar. Alya merasakan teman-temannya terlalu cepat berjalan dan dia tertinggal jauh. Mereka begitu sibuk dengan amanah dakwah masing-masing, sementara pada waktu yang sama dia berasa tenggelam, malas dan letih dengan semua itu. Dia pun tak tau mengapa. Dia ingin teman-temannya mengerti kelemahan jiwanya dan membantunya keluar daripada jeratan-jeratan maksiat yang menjadi asbab kepada kemunduran semangatnya.

Namun ketika mahu dia luahkan pada mereka, dia lantas berasa sangat malu. Teman-temannya asyik membincangkan masalah dakwah bersama murabbinya sehingga Alya tak sampai untuk mengucapkannya.

‘ Ala .. masalah kecik je, diorang mesti rasa buang masa je untuk cerita’ Begitu fikirnya. Akhirnya dia tenggelam keseorangan menelan permasalahannya sehinggalah dia mencari teman-teman di luar komuniti dakwahnya untuk sekadar melabuhkan masalah di hati.

Fenomena di atas bukanlah sesuautu yang  mustahil dalam putaran dakwah. Jatuh bangunnya aktivis dakwah dalam meniti jalan ini, fenomena futurnya iman serta berguguran jundi-jundi dakwah adalah biasa dalam perjuangan ini. Itu adalah sunnatullah. ‘Imanu Yazid way an quz- Iman itu naik dan turun’.

Akan tetapi yang patut disesalkan adalah ketika berjatuhannya aktivis dakwah ini bukan kerana mereka tidak mahu bangun dan kembali bersama dakwah, tetapi kerana orang-orang yang disekelilingnya tidak mahu membantunya bangkit semula bahkan tidak peduli sama sekali kalau saudaranya sedang terjatuh. Inilah yang patut direnungi bersama.

Kisah Alya adalah satu contoh. Kadang-kadang seorang murabbi itu merasakan bahawa anak-anak buahnya sangat bagus sekali, mendengar pengisian dengan teliti dan bersemangat, mencatat nota dengan rapi, kemudian pulang ke rumah masing-masing dengan aman. Tiada masalah. Padahal di sebalik penampilan yang bagus di hadapan murabbinya, ada jurang kemaksiatan yang dilakukan tanpa pengetahunnya. Anak buah seterusnya mahu mengundur diri dan merasa diri tidak standing dengan teman-teman halaqahnya.


Kuncinya adalah berterus-terang

Mutu sesebuah halaqah itu sangat bergantung kuat pada kualiti dialog yang dibina di dalam halaqah itu. Tidak mungkin dialog-dialog itu mampu berlaku dengan bestnya  jika tidak adanya keterbukaan pada jiwa individu(afrod) yang ada didalam halaqah tersebut. Keterbukaan di sini adalah berterus terang dalam menyampaikan segala permasalahan walaupun sekecil manapun masalah itu. Jangan memandang enteng sesuatu masalah itu jika itu memang memerlukan penyelesaian.

Bagi seorang murabbi tidak sebolehnya terlalu mempercayai bahawa ia telah memberikan banyak bahan dan terlalu yakin bahawa mad’unya telah menjadi kader-kader yang tidak mungkin jatuh tatkala ketika tersadung batu ujian.

Lihat sahaja kisah terbukaan Kaab bin Malik di perang Tabuk pada Rasulullah. Panglima besar Islam itu tidak mahu berperang hanya kerana malas! Namun dia bersimpuh di hadapan Rasulullah sambil berkata, ‘wahai Rasulullah, andai aku berhadapan dengan selain engkau, aku yakin aku dapat mencari alasan, namun aku khuatir Allah akan membuatmu marah padaku dengan mengungkapkan kedustaan itu melalui wahyu…”

Apa yang ditonjolkan Kaab sudah cukup menjadi renungan kite semua akan erti keterbukaan, berterus terang dan kejujuran. Di sanalah kuncinya.Ketika seorang mad’u berterus terang akan kesalahannya, makan akan legalah hati, walaupun mungkin ianya memalukan. Di saat itulah motivasi rohani dari murabbi dan nasihat teman-teman harus segera diberikan untuk mengupgradekan langkah-langkah yang sudah tertinggal.


Eratkan kembali ukhuwah

Satu lagi perkara yang berperanan besar dalam menjaga stamina ruhiyah seorang afrod (individu) dalam tarbiyah adalah ukhuwah. Kadang-kadang kerana kesibukan yang mencengkam, hak-hak ukhuwah yang seharusnya kita berikan kepada saudara kita menjadi terabai. Maka wajarlah bila kita rasakan sewaktu berprogram, pertemuan rutin menjadi kering tanpa makna. Kosong. Perkara sebegini haruslah diatasi. Sesibuk manapun aktiviti kita, hak-hak ukhuwah harus tetap kita berikan. Berwajah cerah ketika bertemu, saling berziarah sehingga kita tahu keadaan keluarganya, masalah yang sedang dihadapinya serta keadaan imannya. Cari masa untuk bermalam bersamanya agar dapat bertukar cerita sehingga kita boleh berempati ( empathy ) terhadap permasalahan saudara kita. Saling nasihat menasihati  baik diminta ataupun tidak, saling bertukar-tukar hadiah dan saling mendoakan doa rabithah. Andai kesemua hak-hak ukhuwah tersebut kita tunaikan, akan menjadi tipislah kemungkinan untuk bergugurannya sahabat-sahabat kita di jalan dakwah, insyaAllah.

Akhirnya saudaraku, tarbiyah itu unik. Di situ bukan sahaja sekadar perpindahan( transfer) ilmu dan bahan, tetapi adalah proses bagi setiap individu di dalamnya untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya.

Dan lebih dari itu, langkah-langkah ke arah menjadi lebih baik itulah yang menjadikan kita mengerti akan hakikat hidup berjemaah. Tarbiyah bukanlah segalan-galanya, namun segalanya-galanya bermula dari tarbiyah.

Wasiat Nabi Untuk Wanita

Saidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda , “Hai Aisyah, aku berwasiat kepada engkau. Hendaklah engkau sentiasa mengingati wasiatku ini. Sesungguhnya engkau akan sentiasa di dalam kebajikan selama engkau mengingati wasiatku ini.”
Intisari wasiat Rasulullah s.a.w. tersebut dirumuskan seperti berikut. Hai Aisyah, peliharalah diri engkau. Ketahuilah bahawa sebahagaian besar daripada kaum engkau (kaum wanita) adalah menjadi kayu api di dalam neraka. Antara sebab-sebabnya ialah kerana mereka itu:
Tidak dapat menahan sabar dalam menghadapai kesakitan (kesusahan). Apabila dibalakan, mereka tidak bersabar.
Tidak memuji Allah s.w.t. di atas kemurahan Nya (mensyukuri nikmat), atau dalam erti kata lain mengkufuri nikmat.
Membanyakkan kata-kata yang sia-sia. Wahai Aisyah, ketahuilah bahawa:
  1. Wanita yang menidak-nidakkan kebajikan (kebaikan) yang diberikan oleh suaminya akan digugurkan oleh Allah Taala akan amalannya.
  2. Wanita yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya, maka pada hari kiamat, Allah menjadikan lidahnya 70 hasta dan dibelitkan di tengkuknya.
  3. Isteri yang memandang jahat (menuduh atau menaruh sangkaan buruk terhadap suaminya), Allah akan menghapuskan muka dan tubuhya pada hari kiamat.
  4. Isteri yang tidak memenuhi kemahuan suaminya (yang halal/harus) di tempat tidur atau menyusahkan urusan ini atau mengkhianati suaminya, akan dibangkitkan Allah pada hari kiamat dengan muka yang hitam, matanya kelabu, ubun-ubunnya terikat kepada dua kakinya di dalam neraka.
  5. Wanita yang mengerjakan sembahyang dan berdoa untuk dirinya tetapi tidak untuk suaminya, akan dipukul mukanya dengan sembahyangnya.
  6. Wanita yang dikenakan bala ke atasnya lalu dia menampar-nampar mukanya atau mencarik-carikkan pakaiannya, dia akan dimasukkan ke dalam neraka bersama dengan isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Luth dan tiada harapan mendapat kebajikan syafaat dari sesiapa pun.
  7. Wanita yang berzina akan diderakan dia di hadapan segala makhluk di hadapan neraka pada hari kiamat dan tiap-tiap perbuatan zina dengan 80 cemeti daripada api.
  8. Isteri yang mengandung itu adalah baginya pahala seperti berpuasa pada siang harinya dan mengerjakan qiamullail pada malamnya serta pahala berjuang fisabilillah.
  9. Isteri yang bersalin, bagi tiap-tiap kesakitan yang dideritainya diganjari pahala memerdekakan seorang sahaya. Demikian juga pahalanya setiap kali menyusukan anaknya.
  10. Wanita apabila bersuami dan bersabar daripada menyakiti suaminya, maka samalah dengan titik-titik darah dalam perjuangan fisabilillah. Dialah antara wanita-wanita yang qanitat (banyak  beribadat kepada Allah s.w.t.)
Semoga Allah beri kekuatan kepada kita untuk mengamalkan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Insyaallah..
bm3

CIRI-CIRI ISTERI YANG BAIK MENURUT ISLAM


Isteri yang  baik secara total akan mudah membentuk rumahtangga bahagia tetapi sebaliknya isteri yang tidak memahami akan tanggungjawabnya sudah pasti akan melahirkan rumahtangga yang kucar-kacir.
Kita sedar dan faham rumahtangga yang bahagia lahir dari isteri yang solehah, tetangga yang baik dan kenderaan yang sempurna. Dan wanita adalah penentu buruk baik sesebuah masyarakat.Sedangkan masyarakat yang baik lahir dari rumahtangga dan keluarga yang bahagia.
Wanita dengan sifat kehalusan yang dianugerahi oleh Allah s.w.t. sesuai sekali sebagai pengasuh, pendidik anak-anak, pembimbing dan juga penghibur hati suami.
Dari sifat asal dengan kehalusan ini jika dididik dan diasuh serta dihalusi hatinya sejak awal-awal agar kematangan berfikir dan tingkah laku yang mulia sebagai persiapan seorang isteri yang solehah, sudah pasti berhasil.
Rumahtangga bahagia boleh diasaskan oleh isteri akhlakul karimah perlulah memenuhi tanggungjawab yang digariskan dalam tuntutan pembetukan rumahtangga yang bahagia. Tanggungjawab ini perlulah benar-benar difahami, dihayati dan dilaksanakan agar cita-cita untuk melahirkan rumahtangga bahagia berhasil.

1. Taat dan kasih kepada Allah dan Rasul

Ketaatan kepada Allah akan jelas dilihat dari segala perintah dan larangan yang telah ditetapkan dipatuhi dengan sesungguhnya. Perintah dan larangan ini tergambar dengan jelas sebagaimana yang dibawakan oleh Rasulullah S A. W. Ketaatan yang tidak berbelah bahagi dengan sendirinya akan melahirkan perasaan kasih kepadanya.
Firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 24 yang ertinya. “Katakan: Kalau bapa-bapamu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum keluargamu, kekayaan yang kamu peroleh, perniagaan yang kamu khuatiri akan rugi dan tempat tinggal yang kamu sukai; kalau semua itu kamu cintai lebih dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjuang di jalan Allah, tunggulah sampai Allah mendatangkan perintah-Nya. Dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang fasik.”
Jelaslah kepada kita bahawa ketaatan kepada Allah s.w.t.akan melahirkan kasih dan cinta yang tidak ternilai di sisi manusia.Ketaatan dan cinta kepada Allah ini bukanlah mudah diperoleh sekirannya persiapan ke arah itu disambil lalukan.
Pendidikan jiwa supaya beriman sesungguhnya kepada Allah dan Rasul-Nya, perlulah dididik sejak awal . Didikan ini akan menjadi benteng dan memahami akan batas-batas yang dilarang dan dibolehkan dalam agama. Keimanan yang kukuh, perbuatan yang soleh dan mengikuti ketetapan yang ditentukan dengan sendirinya secara mudah akan dapat melawan hawa nafsu lahiriah dan bathiniah.
” Dan kalau kamu hitung nikmat Allah, niscaya tidak dapat kamu menghitungnya.,” An-Nahl ayat 18. Dari rasa kenikmatan yang diberikan oleh-Nya yang tidak terkira akan memahami betapa hamba sangat-sangat memerlukan pada Khaliknya. Sifat ihsan dengan sendiri mengongkong diri insan; kerana sifat wanita biasanya tidak akan puas dengan panorama duniawi.

2. Akhlak mulia dan sempurna sebelum kecantikan

Kita fahami bahawa Allah tidak memandang paras rupa (kecantikan) seseorang tetapi akhlak yang mulia menjadi nilaian yang kukuh disisiNya. Akhlak mulia dan sempurna menjadi pakaian yang kekal manakala kecantikan akan luntur dimakan atau dimamah usia. Tetapi sekiranya kecantikan ini dapat dipadukan dengan akhlak yang mulia sudah tentu menjadi pilihan utama setiap insan.
Untuk melahirkan wanita yang berakhlak baik perlulah dididik dan diasuh dengan nilai-nilai yang begitu rupa agar meninggikan taraf kamanusiaan dan sekaligus membezakannya dengan sifat kehaiwanan.
Isteri yang berakhlak mulia dengan mudah dapat memahami akan bentuk-bentuk pakaian yang harus dikenakan pada tubuhnya dalam keadaan tertentu; dapat mengawal perkataan-perkataan yang maaruf ketika berbicara dan mengetahui akan batas-batas bergaul sesama rakan, suami, keluarga dan juga saudara-mara yang lainnya.
Di samping itu segala tindakannya mempunyai perbezaan dengan wanita yang tidak solehah. Ia tidak gemar membeli tanpa izin suaminya, apatah lagi penjualan dengan cara berhutang sebagaimana kaedah sistem jual beli yang berleluasa sekarang. Ia lebih mirip kepada kemaksiatan daripada yang maaruf.
Juga tidak bertindak menggunakan harta dan wang suami tanpa izinnya. Sekiranya tidak mencukupi maka ambillah secara yang maaruf sebagaimana yang dilakukan oleh isteri Abu Sufian; Rasulullah menasihatkan agar mengambil dengan maaruf dan yang diperlukan sahaja. Isteri yang solehah juga akan mudah mengawal dan menjaga harta benda suami ketika ketiadaannya.

3. Memperdulikan kewajipan rumahtangga dan berusaha memperbaikinya.

Wanita yang telah dididik sejak awal dengan akhlak yang mulia secara matang mengetahui akan persiapan berumahtangga dan memahami kewajipannya dan memperbaikinya dari semasa ke semasa dengan patuh dari tunjuk ajar suaminya.
Sabda Rasulullah s.a.w. dari Ibnu Abbas r.a yang diriwayatkan oleh Imam Abu Dawud, “Mahukah aku berikan kepadamu sebaik-baik benda yang disimpan? Iaitu  wanita yang solehah. Apabila suaminya melihat kepadanya, gembiralah dia; apabila suaminya perintah akan dia, taatlah ia padanya dan apabila suaminya meninggalkannya, ia akan memelihara nama baik suaminya.”
Dari hadith di atas jelaslah kepada kita ukuran seorang isteri yang baik. Ia mampu melayani suami sebaik mungkin dalam segala bidang; ketaatan yang tidak berbagi-bagi asalkan yang diredhai Allah s.w.t dan boleh mengawal harta benda dan nama baik suaminya ketika tidak ada di rumah.
Ketaatan dan kepatuhan ini akan memudahkan penerimaan hidayah Allah s.w.t dan ketenangan hati suami dalam menjalani hidup berumahtangga. Dan sekaligus seolah-olah menjadi suatu simpanan yang sangat berharga bagi seorang lelaki berumahtangga apabila memiliki isteri yang baik budi pekerti atau perangainya dan mampu mengendalikan rumahtangga dengan baik.
Walaupun di dalam Islam tanggungjawab di dalam rumahtangga seperti menjaga anak-anak dan memasak serta lain-lain tidak diwajibkan sepenuhnya kepada isteri tetapi isteri yang solehah merasakan tanggungjawab ini biarlah ia yang menanggungnya. Kerana ia tidak mahu tangan orang lain mengendong anaknya ketika hendak tidur; tidak mahu tangan lain memasakkan makanan suaminya atau sebagainya dan memahami tugasnya adalah melayani suaminya semata-mata.

Isteri yang solehah sungguh cekap dan teratur melayani suaminya menjaga dan mendidik anak-anak, menyediakan makan minum keluarga, mengemas tempat tinggal dengan rapi dan lainnya. Sedaya upaya berusaha memperbaiki kewajipan yang telah diamanahkan oleh suaminya.
Isteri yang begini akan melahirkan rumahtangga yang tenteram, riang gembira dan menjadi rumahtangga contoh dalam masyarakat. Begitulah yang dikehendaki dalam Islam.

4. Malu dan taat

Sifat malu memang lumrah bagi seorang wanita.Malu seorang isteri adalah hormat dan taat yang sebenarnya kepada suaminya, selagi suaminya taat kepada Allah dan Rasul-Nya.
Isteri akan diam saat suami berbicara, membenarkan kata-katanya dan menghormati segala pesanannya. Bermuzakarah boleh juga diadakan tetapi  perlu dikawal oleh akal kerana wanita itu berakal pendek walaupun mempunyai rambut yang panjang. Perbincangan yang mengikuti nafsu syaitan dan sikap memberontak, menangan dan menghentak-hentak kaki yang akhirnya akan memporak-porandakan rumahtangga.
Hadith Rasulullah yang diriwayatkan oleh Termizi dan Ibnu Majah mengatakan. “Ketahuilah dan hendaklah kamu berpesan-pesan kepada kaum wanita dengan baik-baik, kerana sesungguhnya mereka itu tawanan bagi kamu, tidak ada kekuasaan sedikit pun bagimu dari mereka itu selain yang demikian itu, kecuali jika mereka itu
mendatangi
atau mengerjakan sesuatu kederhakaan yang nyata. Maka jika mereka berlaku curang, berbuat derhaka, hendaklah kamu tinggalkan tempat tidurnya dan berilah pukulan yang tidak menyakitkan. Kemudian bila mereka taat dan patuh kepadamu, janganlah kamu cari jalan yang bukan-bukan untuk berbuat tidak senonoh kepada mereka. Ketahuilah, sesungguhnya bagi kamu ada suatu kewajipan atas isteri-isterimu, dan isteri-isterimu ada kewajipan ke atas kamu pula. Adapun kewajipanmu (suami) atas isteri-isterimu ialah bahawa mereka itu janganlah
menginjakkan tempat tidurmu dengan orang yang tidak kamu sukai, dan
mereka janganlah memperkenankan orang-orang yang kamu tidak sukai masuk ke rumahmu; dan kewajipan mereka (isteri) atas kamu ialah bahawa kamu hendaklah berbuat baik atas mereka itu dalam urusan pakaian dan makanan mereka.”
Dengan ini jelas membuktikan bahawa sifat malu dan taat kepada suami masing-masing adalah perkara penting di dalam pergaulan berumahtangga. Ia perlu dijaga, diawasi dan dikawal agar jangan sampai terjadi yang tidak sesuai dengan kewanitaannya dan dilarang oleh agama.
Jadi perlulah isteri itu sedaya upaya mentaati dan menghormati suaminya kerana taat kepada suami bermakna taat kepda Allah s.w.t jua; dan murka suami bererti murkalah Allah kepadanya.

5. Mulia dan menghormati  suami dan kerabatnya

Bermula selepas ijab & qabul, tugas dan tanggungjawab ibu bapa selama ini berpindah secara automatik ke bahu suami sepenuhnya. Dan sebagai seorang isteri, suamilah tempat ia bergantung kasih sayang.
Kerana itu tidak syak lagi seorang isteri itu menghormati (adik-kakak) suami, saudara-saudara dan kerabatnya menurut batas yang tertentu. Dan hubungan dan pertaliannya mempunyai had dan batas yang dibolehkan di dalam Islam.
Kedatangan mereka terutama ibu bapanya perlulah disanjung dan hubungan ini perlu dititik-beratkan. Ada di kalangan keluarga Islam, perhubungan antara suami dan ibu bapanya renggang disebabkan oleh sikap isteri yang tidak menyenangkan orang tua suami.
Kadangkala isteri itu meminta barang-barang keperluan yang tidak dimampui oleh si suami hingga menyebabkan keluarganya akan juga menjadi puncak perpecahan antara suami isteri dan kaum keluarganya. Memuliakan dan menghormati suami dan kaum kerabatnya merupakan satu tanggungjawab isteri yang baik.
Jadi perlulah isteri itu sedaya upaya mentaati dan menghormati suaminya kerana taat kepada suami bermakna taat kepda Allah s.w.t jua; dan murka suami bererti murkalah Allah kepadanya.

Khamis, 3 Mei 2012

~UKHWAH Ke???~

"AWAK, APA HUBUNGAN KITA?"

"Assalamualaikum lama tak tegur awak. Makin laju gerak kerja dakwah. Hari sabtu lepas saya sempat pergi dengar ceramah awak di Surau Blok F".

Mesej ukhti Ira tiba-tiba muncul di ruangan chatting Facebook. Agak berderau darah jantan aku apabila insan yang semakin aku pendam perasaan kepadanya menegur aku.

"Hehe....saya biasa saje. Awak pun apa kurangnya. Dengar cite selalu on9 kt group FB, AKU BENCI DEDAH AURAT DIFACEBOOK. Tak silap saya awak pun dapat anugerah tokoh muslimah harapan ummah sempena Bulan Dakwah di tempat pengajian awakkan?"

Dengan laju aku membalas mesej sekaligus menghiraukan assignment yang berlambak depan mata. Sungguh bersemangat aku chatting dengan ukhti Ira sehingga tidak sedar sudah larut malam. Pantang muamalat muslimin muslimat sepatutnya terhad pukul 12 tengah malam. Itupun aku langgar.

Kerana apa?

Sayang. Betulkah aku sayang dia? Sayang sebagai apa?

"Awak, boleh saya tanya apa hubungan kita ye? Sekadar sahabat ke?" tanya ukhti Ira kelmarin membuatkan tidur semalamanku menjadi tidak lena. Aku mula rasa serba salah.

"Awak, awak...kenapa awak panggil kita Ira je? Bahasakan awak saya? Kenapa tidak enta enti macam yang awak gunakan dengan muslimat yang lain?"

Pertanyaan demi pertanyaan membunuh ego hubungan aku dengan dia. Ego apakah yang aku pertahankan ini?

Ego aku dengan Allah di atas hubungan yang tidak pasti. Adakah aku talam dua muka? Mempunyai 2 identiti? Kala iman naik, alim aku mengalahkan sufi yang bertapa. Kala nafsu melonjak, ghairah aku untuk kembali jahil.

Naik gila aku fikir. Aku benar-benar rasa bersalah. Sangat berdosa dengan Tuhan.

Ya, aku menghidapi penyakit hati. Hati aku sudah rosak kerana wanita, kecantikan, nama dan candu dunia.

Ya, pada asalnya niat aku dan ukhti Ira berukhwah kerana Allah. Tapi lama kelamaan bisikan demi bisikan syaitan yang didengari mula membogelkan niat suci tadi.

Hubungan yang mula dipertahankan dengan ego atas dasar dakwah. Gerak kerja bersama. Dibaluti dengan sutera Rabithah menjadikan hati teruja dengan keasyikan berukhawah muslimin muslimat. Akibat terlalu asyik, jiwa menjadi leka. Nama dakwah hanya menjadi lesen berhubung.

"Awak, maaf saya tanya. Awak tahu tak apa itu dosa?" Aku mula berani membuang ego.

"................"

Tiada jawapan.

"Awak apa kita buat ni dosa. Kita dah semakin hanyut. Ukhwah kita harus diletakkan semula atas dasar taqwa bukan perasaan suka. Bukan sayang. Apatah lagi cinta. Sayang kita pun hanya sekadar saudara seislam bertunjangkan rasa takut takut dan gentar kepada Allah. Kita orang dakwah. Dakwah bukan untuk suka-suka"

"Wahai manusia! Sungguh, Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, kemudian Kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar kamu saling mengenal. Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang PALING BERTAQWA. Sungguh, Allah Maha Mengetahui, Maha Teliti" (al-Hujurat: 13)

TAKWA.

Jika kita berukhwah tapi tidak membawa kita kepada Taqwa, maka dengan apakah kita berada di jalan dakwah?

Setakat bertanya khabar. Setakat menegur. Setakat beramah mesra. Setakat bergurau senda. Perlukah semua itu? Perlukah?

Aku juga mencari jawapan. Terlalu rigidkah aku untuk aku mengatakan TIDAK PERLU?! Terlalu syadidkah aku untuk bertegas TIDAK PERLU?!

Mari kita fikir-fikirkan semula ukhwah kita di mana sebenarnya?
Wujudkah ukhwah muslimin muslimat? Di mana kewujudannya?

Kita bukan orang biasa-biasa. Kita bernafas dengan oksigen dakwah. Kita hidup hanya kerana mencari redha Allah. Tidak semua tempat. Tidak semua masa hubungan ini dibolehkan. Ada batas-batasnya tersendiri kerana Allah nak jaga kita. Kerana Allah sangat sayang kita.

Jagalah hatimu. Dan aku akan jaga hatiku.
.

Selasa, 1 Mei 2012

~Ya Rabb!!!...Aku Redha~




SHARING IS LOVING!!!



 Hati masih dilanda resah,
Jiwa masih rasa gelisah,
Hati berbolak-balik,
Jiwa terumbang ambing,
Ke kanan, ke kiri,
Ke atas, ke bawah,


Hati berkata,
"Aku mahu berubah!"
Tekadnya mula meninggi,
Namun Nafsu mencelah,
Keinginan hati dihalang,


Lalu dia berkata,
"Aku masih meraja!"
Hati kini tunduk melayu,
Siapa yang mampu melawan dirimu, Nafsu..?
Namun bicara itu hanya terhenti di dalam,
Di ruang qalbu yang tiada siapa dapat mendengar,


"Mengapa aku begini lemah?"
Qalbu memberontak,
Geram pada sifat diri yang lemah tak berdaya,
Siapa yang mampu membantuku?


Oh ya,
Iman, di mana kau, Iman,
Aku rindu kau, Iman,
Sudah lama kau tidak singgah di hati ini,
Menemani hati yang kian sunyi,


Dulu tatkala Iman masih di hati,
Mengapa tak dibiar Iman meraja..?
Mengapa dibiar Nafsu bergelora..?
Sedangkan Iman punyai kredibiliti yag jauh lebh tinggi berbanding Nafsu,
Namun hati tak mampu melawan kehendak Nafsu,
Lalu mana mungkin Iman dapat bertahan di situ,
Tatkala Raja dirimu kini hanya Nafsu..?


Hati kini dilanda kesal,
Hati lalu merintih & merayu pada Tuhan,
Ya, Tuhan,
Tuhan yang menguasai segala Raja,
Tuhan yang Maha Perkasa,
Tuhan yang Maha Pengampun,
Tuhan yang membolak-balikkan hati,
Tuhan yang mendamaikan hati,


Pedulikan segala masa silammu,
Aku tahu, Dia itu Maha Pengasih pada setiap hamba-Nya,
Dia rindu untuk mendengar rintihan hamba-Nya,
Cuma hati yang lalai, lupa untuk merintih pada-Nya,


Dalam jiwa yang masih kelam itu,
Tersemat satu janji yang tak akan dia mungkiri,
"Aku tak akan mengalah lagi,"
Pasti,
Kerana dia tahu,


"Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya & meninggalkan larangan-Nya) nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (daripada segala perkara yang menyusahkannya)Dan memberi rezeki daripada jalan yang tidak terlintas di hatinya"
- Surah Ath-Thalaq: 2-3 -